Saturday, January 8, 2011

Kau Pergi Jua

Saya pernah menulis mengenai kesihatan Atok saya Bujang bin Mohd Amin di entri sebelum ini. Pada tanggal 27hb Disember 2010 bersamaan 21 Muharam 1432H, jam lebih kurang 11.30 pagi, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di kampung saya, Kesang Tua, Jasin Melaka. Setelah hampir lapan bulan terlantar sakit, akhirnya atok saya pergi. Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang dari kampung setelah menghantar nenek-nenek saudara. Saya pulang bersama Pak Lang saya yang tinggal di kampung untuk menjaga datok saya ketika kami menghadiri majlis perkahwinan sepupu saya di Pahang. Ketika sudah melepasi Seremban, Achik saya menelefon Pak Lang dan menyuruh kami berpatah balik. Ya, Atok saya sudah tiada. Pak Lang dan saya terus berpatah balik ke kampung. Pak Lang sungguh tenang, mungkin berbaloi dapat menjaga Atok saya selama 3 hari pemergiaan kami ke Pahang. Oleh kerana perancangan utama saya pulang ke kampung hanya menghantar nenek dan terus pulang, semua baju saya telah dibawa oleh keluarga saya. Saya menelefon kakak saya supaya membawa baju kurung untuk saya.

Setiba di kampung, Atok saya sudah diletakkan di bawah dan nenek saya di sebelah beliau sangat tenang. Pak Busu sudah tiba kerana tinggal di Bemban. Teringat kata Achik saya, yang nenek sudah berkira-kira siapa yang hendak memandikan Atok saya selepas cuti sekolah telah berakhir. Sebelum ini, semua hal dilakukan oleh sepupu saya yang juga merupakan anak Achik saya iaitu Safwan dan juga dibantu oleh abangnya jika dia pulang bercuti dari kampusnya di Kuantan. Kita merancang, ALLAH juga merancang. Perancangan DIA lebih baik. Atok saya menghembuskan nafasnya setelah semua urusan perkahwinan sepupu saya selesai. Alhamdulillah. Saya sempat membantu makcik saya menyediakan barang untuk menyiapkan jenazah seperti menyediakan bantal dari daun pandan yang dicarik-carik. Pok Teh yang tiba dari Klebang jug sudah sampai. Anak nenek yang lain semua sudah ada, cuma tinggal ayah saya sahaja. Ketika imam menyiapkan kain kapan, nenek menyuruh menelefon ayah dan bertanya di mana dia sekarang. Ayah masih di Seremban dan menyuruh, kami meneruskan dahulu. Nenek nampak sedikit kecewa.

Ketika saat mahu memandikan arwah, adik lelaki saya sampai dari Johor Bharu. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya wakil ayah saya ada (walaupun tidak sama). Proses memandikan Atok saya sangat cepat. Mungkin kerana Atok saya telah dimandikan pagi tadi oleh Safwan dan memang Atok saya akan mandi pada tiap-tiap hari. Setelah dikafankan, sekali lagi nenek bertanya ayah saya di mana. Setelah menelefon, nyata ayah saya masih jauh di Restoran Jejantas Air Keroh. Imam menyuruh di bawa dahulu ke Masjid, dan akan dibukakan kain kafan ketika di masjid. Sepupu saya Fatimah baru tiba bersama Abu Hurairah dan Abdullah dari UIA. Risau kerana ayah saya masih lagi jauh. Kak Long dan Kak Mi juga sudah tiba. Jenazah telah di bawa ke masjid. Saya menelefon ayah saya untuk terus ke masjid apabila tiba nanti. Saya ke masjid lewat sedikit kerana waktu Asar sekitar 15 minit lagi dan kebetulan saya sudah menjamak Zuhur Asar tadi. Saya ke simpang membeli sayur untuk dimasak oleh Nek Som.

Di Masjid, semua orang sedang menunggu solat Asar. Sesampai saya bersama Naziha, sudah kelihatan van ayah saya. Alhamdulillah. Di masjid kelihatan Mak Ngah saya (kakak mak saya) dan Mak Usu (adik ipar mak). Sebelum itu, Pak Long (abang mak) sekeluarga telah tiba semasa jenazah hendak di bawa ke masjid. Kecuali Achik di Kelantan, semua adik beradik mak saya telah datang menziarahi nenek saya. Terima kasih semua. Ayah saya mengimamkan solat jenazah. Sebak. Perasaannya adalah sama ketika Pak Long saya mengimamkan solat jenazah Atok Man saya. Selesai semua urusan di tanah perkuburan. Kami pulang. Makanan sudah tersedia. Oleh kerana Atok saya meninggal hampir tengahari. Kami semua tidak sempat makan dan menyebabkan semua orang kelaparan. Nek Som telah memasak untuk kami. Lauk asam dan telur goreng. Nek Som sangat banyak membantu. Terima kasih nenek. Terima kasih semua.

Semoga roh Atok ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.

No comments:

Post a Comment